KEADAAN JEREBU DAN KEMEROSOTAN KUALITI UDARA
1. PENDAHULUAN
Udara adalah anugerah Tuhan yang sangat penting. Tanpa udara, manusia dan hidupan lain tidak boleh menjalankan proses pernafasan. Udara membekalkan oksigen yang sangat diperlukan dalam sistem pernafasan hidupan. Udara juga melambangkan sesuatu yang bermakna, kebersihan udara melambangkan kesucian, kedinginannya melambangkan kedamaian dan tiupannya melambangkan kesegaran. Namun begitu, udara tidak selamanya melambangkan kesucian atau kedamaian. Kenyataannya udara juga boleh melambangkan kerakusan menusia terhadap alam sekitar.
Sejak kebelakangan ini, udara di persekitaran bandar-bandar utama di Malaysia berjerebu. Sebelum ini, tidak siapa peduli tentang jerebu, walaupun ianya telah meliputi sebahagian besar angkasa negara ini sejak awal tahun lalu. Daripada golongan tua, dewasa, remaja hinggalah kepada anak-anak kecil semua memperkatakan tentang jerebu.
Kehadiran jerebu pada mulanya disifatkan sebagai 'kabus' waktu pagi yang secara tidak langsung menjadikan suasana pagi hari semakin hari semakin indah. Namun setelah menyedari apa sebenarnya jerebu maka masyarakat mengalami kejutan yang teramat sangat, tambahan lagi memikirkan kesihatan anak-anak yang saban hari terdedah kepada udara kotor.
Jerebu bukanlah suatu fenomena baru, tetapi berlaku sepanjang tahun mengikut tahap keadaan semasa, ianya menjadi teruk pada masa tertentu apabila habuk terlalu banyak berkumpul di udara dalam keadaan atmosfera yang stabil.
2. APA ITU JEREBU
Menyebut jerebu amat mudah tetapi mungkin ada di kalangan kita yang tidak tahu apa ertinya jerebu sepenuhnya dan kesan kepada alam sekitar.
Jerebu adalah satu fenomena yang disebabkan kewujudan banyak partikel-partikel kecil (saiz: mikron) yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semulajadi ataupun hasil/ kesan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok, ia boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi dan mengurangkan jarak penglihatan. Jerebu juga terjadi akibat partikel-partikel yang terbentuk oleh pelbagai sumber seperti asap kereta, rokok, habuk, pembakaran secara terbuka dan lain-lain partikel yang dikeluarkan secara langsung ke atmosfera. Partikel-partikel ini juga boleh terbentuk apabila gas-gas tercemar bertindakbalas di udara.
Dari segi definasi teknikal, jerebu (haze) ditakrifkan sebagai debu, garam atau zarah asap yang terampai dalam titisan air menyebabkan keadaan atmosfera yang sama atau jarak pandangan yang pendek.
3. PUNCA KEADAAN JEREBU
Keadaan berjerebu adalah tanda berlakunya pencemaran udara akibat aktiviti perbandaran, perindustrian, pertanian dan seumpamanya.
Jerebu berpunca daripada pelbagai sumber dan proses. Umumnya di kawasan perbandaran dan perindustrian jerebu terhasil daripada pembentukan asap fotokimia. Asap fotokimia berpunca daripada gas nitrogen dioksida. Gas ini menyerap ultra lembayung tenaga suria. Hasilnya terbentuk nitrik oksida dan terbebasnya atom oksigen. Atom oksigen ini bergabung dengan molekul oksigen membentuk ozon. Jika wujud hidrokarbon (selain metana) dan sebatian organik yang lain, maka berlakulah pelbagai tindakbalas kimia yang rencam. Dianggarkan kira-kira 80 tindakbalas kimia berlaku sehingga mewujudkan keadaan jerebu.
Selain asap fotokimia, pancaran haba dari permukaan bumi ketika cuaca panas berbahang juga boleh menyebabkan keadaan berjerebu. Keadaan berjerebu itu diburukkan lagi jika terbentuk kabus nipis. Biasanya jarak pandang dalam keaaan berjerebu lebih kurang dua kilometer.
Punca Keadaan Jerebu Semasa
Keadaan berjerebu yang berlaku sekarang telah dikenalpasti berpunca daripada pembakaran kawasan hutan untuk dijadikan ladang di Indonesia khususnya di wilayah Sulawesi Utara, Timur Jakarta dan Sumatera. Oleh kerana Indonesia mengalami musim kemarau dan juga dikatakan menerima kesan fenomena El-Nino yang menyebabkan keadaan cuaca kering dan kebakaran merebak dengan cepat. Manakala arah angin barat daya yang bertiup dari Indonesia menyebabkan asap dari kebakaran tersebut terus dibawa ke arah negara Malaysia.
4. APAKAH INDEKS PENCEMARAN UDARA (IPU) ?
Indeks pencemaran udara (IPU) diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti yang dicatatkan di bawah ini:-
Kadar IPU diletakkan pada nilai dan status seperti di bawah ini:-
0-50 - Baik
51-100 - Sederhana
101-200 - Tidak Sihat
201-300 - Sangat Tidak Sihat
301-500 - Berbahaya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan