Selasa, 11 September 2007

500 rumah Batu Pahat dinaiki banjir kilat 0.5 meter


Penerokaan kawasan di Bukit Belah dipercayai punca lumpur penuhi kediaman di Kampung Sri Jasa

BATU PAHAT: Hampir 500 rumah di beberapa kawasan di sini dinaiki air hingga paras pinggang ketika banjir kilat melanda selepas hujan lebat awal pagi semalam.

Memburukkan lagi keadaan, beberapa rumah terutama yang berhampiran dengan kawasan bukit yang terbabit dengan pembangunan dilanda banjir lumpur.







Seorang penduduk di Kampung Sri Jasa, Sri Medan, berkata rumahnya dinaiki air hingga paras 0.5 meter ketika hujan lebat yang bermula kira-kira jam 2 pagi menyebabkan semua barangannya termasuk tiga kereta gagal diselamatkan.

Beliau berkata, selepas air surut pagi semalam, lumpur tanah merah yang dipercayai akibat hakisan dari Bukit Belah yang teruk diteroka, memenuhi setiap ruang rumahnya.

"Setiap kali hujan lebat, pasti rumah kami akan dilanda banjir kilat tetapi kali ini lebih teruk lagi apabila banjir disertai lumpur hingga petang tidak dapat kami bersihkan.

"Akibat banjir kilat awal pagi tadi (semalam), semua perabot dan peralatan elektrik di rumah saya mengalami kerosakan manakala tiga kereta di luar rumah saya juga turut tenggelam," katanya.



Penerokaan kawasan di Bukit Belah dipercayai punca lumpur penuhi kediaman di Kampung Sri Jasa


Kawasan Taman Tanah Merah dan Kampung Johor, di Jalan Limpoon turut dilanda banjir lumpur yang dipercayai akibat hakisan dari bukit berhampiran.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Petani, di sini, mendapati kira-kira 40 rumah termasuk sepuluh kilang dinaiki air ketika banjir kilat itu. Banjir kilat itu turut menyebabkan sebatang jalan di Kampung Petani terputus.

Sementara itu, tinjauan mendapati kawasan lain yang turut dilanda banjir kilat ialah sekitar Tongkang Pecah apabila lebih 200 rumah dinaiki air.

Tiada ulasan: