Sabtu, 6 Oktober 2007

Pengenalan Kepada Udara- menurut autoriti Jabatan Alam Sekitar, Malaysia

1. APAKAH ATMOSFERA ?

Atmosfera ialah lapisan gas yang menyelaputi bumi. Ia kekal dan stabil di sekelilingi bumi kerana graviti. Ia mempunyai ketebalan 100km. Walaupun ia agak nampak tebal, namun sekiranya dibandingkan dengan ketebalan bumi iaitu 6,400km, nisbahnya adalah sama seperti buah pic dan kulitnya. Atmosfera atau lebuh dikenali sebagai udara adalah campuran pelbagai jenis gas, partikal pepejal dan wap air. Udara mempunyai ketumpatan yang tinggi di paras permukaan bumi yang kita tinggal tetapi ketumpatannya menjadi semakin rendah apabila semakin bergerak tinggi ke atas atmosfera. Planet-planet lain juga mempunyai atmosfera tetapi setakat yang diketahui tiada yang mampu menampung kehidupan.


2. KANDUNGAN UDARA BERSIH

Kandungan utama udara di atmosfera ialah Nitrogen (78%), Oksigen (21%), dan lain-lain gas (1%). Oksigen adalah satu keperluan asas bagi hamper semua benda hidup. Kesemua elemen lain yang ditonjolkan di dalam graf di bawah juga memainkan peranan yang penting dalam menampung kehidupan di bumi. Selain itu, air juga merupakan satu komponen atmosfera yang penting dan ia hadir dalam bentuk wap air yang tersejat dari permukaan Bumi. Daripada wap air ini terbentuklah awan yang akhirnya mengembalikan air ke muka bumi sebagai hujan atau salji. Komponen lain dalam udara ialah partikel pepejal yang halus. Partikel-partikel ini dikenali sebagai ‘aerosol’ dan ia bertindak sebagai condenser membolehkan wap air terpeluap di sekelilingnya dan membolehkan pembentukan awan. Setiap kali bahan pencemar dilepaskan ke armosfera, bererti kita mengganggu kestabilan semulajadi planet kita.


3. BUNYI DAN GETARAN

Bunyi adalah sebahagian daripada alam dan bergerak dalam udara. Bunyi bising adalah pencemaran kerana ia adalah satu bentuk kacau ganggu kepada semua benda hidup. Semua struktur yang bergetar menghasilkan bunyi. Julat mendengar bagi seorang manusia normal dan sihat adalah masing-masing 20 Hz sehingga 20,000 Hz dan 0 dB sehingga 130 dB. Paras bunyi yang melebihi 130 dB akan menyebabkan deria pendengaran manusia mula berasa sakit. Paras getaran bangunan kurang 3 mm/s adalah selamat , manakala paras getaran melebihi 30 mm/s akan menyebabkan kerosakan infrastruktur yang sangat teruk dan besar.


4. STRUKTUR LAPISAN ATMOSFERA
Jika anda mendongak ke langit pada hari yang cerah selalunya anda akan melihat langit yang biru dengan kepulan putih awan terapung-apung dan bergerak perlahan-lahan. Apa yang anda tidak boleh lihat ialah struktur menegak atmosfera yang terdiri daripada 4 lapisan yang dipanggil troposfera, stratosfera, mesosfera dan termosfera. Suhu udara akan meningkat atau menurun di setiap lapisan dan sifatnya berubah di setiap lapisan. Troposfera mempunyai ketebalan dari 9 hingga 16 kilometer dan kebanyakan aktiviti cuaca seperti pembentukan awan dan rebut berlaku di zon ini. Suhu menurun mengikut ketinggian di lapisan ini.


5. PERNAFASAN & OKSIGEN
Dengan setiap nafas yang kita sedut, sel-sel badan diberi tenaga untuk bergerak, membina dan mengganda bagi memastikan kita terus hidup. Udara memasuki paru-paru melalui hidung dan mulut. Di dalam paru-paru ianya diserap ke dalam aliran darah dan kemuidan dibawa ke seluruh badan. Karbon dioksida kemudiannya dipulangkan ke paru-paru dan dikeluarkan daripada badan kita apabila nafas dihembus. Tanpa tumbuhan yang menghasilkan oksigen, manusia dan haiwan tidak boleh terus hidup. Oleh kerana itu kita harus memastikan tumbuh-tumbuhan dipelihara dengan baik.


6. FOTOSINTESIS & OKSIGEN
Fotosintesis yang berlaku dalam tumbuh-tumbuhan berdaun hijau dengan bantuan klorofil adalah satu keajaiban. Ia bermula apabila tumbuhan dan rumpai menyerap cahaya matahari dan menukarnya kepada tenaga kimia. Karbon dioksida dari atmosfera dan air kemudiannya ditukarkan kepada gula manakala oksigen pula dihasilkan sebagai bahan buangan. Tumbuh-tumbuhan memerlukan gula untuk membesar dan akhirnya menjadi makanan untuk manusia dan haiwan.


7. KESAN RUMAH HIJAU SEMULAJADI

Dengan “kesan rumah hijau semulajadi”, suhu udara di permukaan bumi dikekalkan pada purata +150C. Tanpa kesan ini, kesejukan ketara pada tahap -180C akan menjadi satu kebiasaan dan kepelbagaian hidupan di biosfera tidak mungkin boleh berkembang. Gelombang pendek pancaran matahari menembusi bumi dengan kuasa yang hebat. Atmosfera, kepulan awan permukaan bumi memantulkan satu pertiga daripada tenaga radiasi ini. Selebihnya menembusi atmosfera lalu memanaskan bumi. Bumi kemudiannya memancarkan kembali tenaga in sebagai radiasi infra merah. Gas surih ataupun gas rumah hijau yang terdapat di atmosfera, terutamanya wap air, karbon dioksida dan metana menyerap gelombang panjang ini dan memancarkannya kembali ke angkasa lepas dan juga kembali ke muka bumi. Dengan ini ia bertindak seperti seperti kepingan kaca pada sebuah rumah hijau, dan permukaan bumi akan menjadi lebih panas. Kesan daripada aktiviti industri di peringkat global mengakibatkan bertambahnya kandungan gas rumah hijau di atmosfera dalam dekad yang lepas. Akibatnya ialah “kesan rumah hijau tambahan” yang mungkin akan mengubah iklim bumi.


8. PERISAI MATAHARI

Matahari memancarkan tenaga dalam bentuk haba (radiasi infra merah), dan cahaya yang boleh dilihat atau radiasi ultra ungu (UV). UV terpancar dengan gelombang yang pendek dan bertenaga tinggi dan diklasifikasikan sebagai UVC, UVB dan UVA. UVC sangat merbahaya dan mampu membunuh semua kehidupan termasuk bacteria dan lain-lain mikro organisma. UVA boleh menggelapkan kulit manakala UVB bertanggungjawab membakar kulit dan boleh menyebabkan penyakit kanser kulit. Kita bernasib baik kerana UVC diserap sepenuhnya oleh oksigen yang berada di atas lapisan stratosfera. Kebanyakan UVB diserap oleh ozon yang berada di stratosfera selagi mana ianya cukup tebal untuk fungsi tersebut. Hanya Pancaran UVA boleh menembusi atmosfera dengan mudah dan tanpa disekat.

Tiada ulasan: