MONTREAL 23 Sept. – Hampir 200 negara telah menyatakan persetujuan untuk mempercepatkan penghapusan bahan kimia yang mengancam ozon dan memburukkan lagi pemanasan global, lapor Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), semalam.
Pengarah UNEP, Achim Steiner menandatangani perjanjian tersebut dengan ketua-ketua kerajaan terbabit bagi pengharaman pengeluaran bahan kimia hydrochlorofluorocarbons (HCFC).
Pengharaman itu merupakan satu isyarat mustahak dalam usaha memperlahankan perubahan iklim dan pemanasan global.
“Ia barangkali perkembangan yang paling penting dalam proses rundingan persekitaran antarabangsa sekurang-kurangnya untuk tempoh lima atau enam tahun ini.
“Kerajaan mempunyai peluang yang cerah untuk bekerjasama dalam menangani masalah berkembar iaitu perubahan iklim di samping melindungi lapisan ozon yang kian menipis,” katanya.
Perjanjian itu dicapai sewaktu para pemimpin dunia bersiap sedia menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang antara lain cuba membentuk perjanjian sejagat dalam menyelesaikan masalah gas rumah hijau.
Menerusi persetujuan itu, negara maju akan melalui fasa tanpa menghasilkan HCFC pada 2020 manakala negara membangun bermula pada 2030.
Tempoh itu adalah 10 tahun lebih awal daripada perjanjian terdahulu.
Perjanjian tersebut telah merombak jadual yang dibuat pada 1987 di bawah Protokol Montreal, bertujuan untuk menyingkirkan penggunaan HCFC dan bahan kimia berkaitan yang selalu dijumpai dalam peti sejuk dan penyembur rambut.
– AFP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan