Ahad, 23 September 2007

Perubahan iklim agenda utama

Daripada Azhar Abu Samah Di New York
PERUBAHAN iklim akan menjadi agenda utama ketua negara dan pemimpin dunia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-62 bermula minggu ini, sekali gus membuka jalan untuk perbincangan lebih serius semua 192 negara anggota badan dunia itu bagi mengatasi masalah sejagat ini.

Selain tidak mengetepikan isu keselamatan dan politik antarabangsa untuk dibincangkan, antaranya Kosovo, kemudahan nuklear Iran, isu Palestin, Myanmar, Lubnan dan menghantar pasukan pengaman ke Darfur, Sudan, perhimpunan PBB kali ini sudah mendapat gambaran awal bahawa pemimpin dunia sudah bersedia untuk mengatasi masalah ketidaktentuan iklim dunia, termasuk merangka langkah tambahan bagi menguatkan lagi komitmen semua negara anggota menjayakannya.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata kesan perubahan iklim dunia ketika ini begitu ketara, termasuk peningkatan suhu dunia dan cuaca tidak menentu yang membawa kepada banjir dan ribut kuat serta memberi kesan langsung kepada penduduk dunia.
"Sudah sampai masa pemimpin dunia berkongsi kepakaran dan sumber, termasuk menyediakan kewangan bagi mengatasi masalah ini kerana ia membawa bahaya kepada kita," katanya sambil menambah, Malaysia turut merasai kesan perubahan iklim dunia apabila Johor dilanda banjir terburuk tidak lama lalu.

Bercakap kepada wartawan di sini semalam, Syed Hamid berkata, beliau akan mengambil bahagian pada majlis pembukaan mesyuarat peringkat tinggi perubahan iklim di PBB hari ini dengan membawa usul betapa penting PBB mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menguruskan soal perubahan iklim dunia.

"Isu ini akan mencuri tumpuan dalam tempoh dua hingga tiga hari PBB bersidang, termasuk ketika perbahasan umum," katanya sambil menambah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan berucap pada 28 September turut menyentuh isu sama, termasuk pendekatan Islam Hadhari.

Beliau berkata, walaupun Protokol Kyoto yang akan berakhir pada 2012 sudah mengambil tindakan mengurangkan kesan pengeluaran gas rumah hijau, namun pemimpin dunia perlu merangka satu mekanisme baru bagi memperlihatkan tindakan positif untuk memelihara kepentingan generasi akan datang.

Difahamkan, kesepakatan yang dicapai pemimpin dunia mengenai isu perubahan iklim dunia pada perhimpunan agung kali ini akan membuka ruang kepada masyarakat antarabangsa memulakan rundingan bagi perjanjian baru ketika berlangsungnya persidangan mengenai perubahan cuaca dunia di Bali, Indonesia pada Disember ini.

Tiada ulasan: