Rabu, 26 September 2007

KL syor negara maju bantu atasi krisis iklim

MALAYSIA semalam mencadangkan satu tabung baru dengan dana yang lebih besar diwujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu negara membangun mengatasi masalah perubahan iklim dengan lebih berkesan.

Serentak itu, Malaysia juga mahu negara maju yang sedang dan sudah mendapat manfaat daripada pelaburan atau kegiatan mereka di negara membangun, lebih aktif membantu meningkatkan perlindungan di negara membangun daripada perubahan cuaca.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada mesyuarat peringkat tinggi tidak formal mengenai perubahan iklim anjuran PBB, berkata negara maju mesti komited menawarkan pembiayaan dan teknologi kepada negara membangun bagi membentuk satu rejim iklim yang berkesan selepas Protokol Kyoto berakhir pada 2012.

"Negara maju perlu melakukan lebih usaha untuk menangani isu ini, terutama dari segi peruntukan pembiayaan kerana berdasarkan sejarah, negara maju banyak melepaskan gas rumah hijau dan mempunyai lebih kemampuan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat itu, di sini, semalam.

Beliau berharap tabung penyesuaian yang kini diusahakan PBB mengikut Protokol Kyoto dapat beroperasi lebih awal dan pada masa sama mahu mahu dana alam sekitar sedunia yang ada ketika ini lebih mudah diperoleh negara anggota yang memerlukannya.

Katanya, banyak dana yang ditubuhkan untuk tujuan penjagaan alam sekitar menetapkan syarat yang sukar dipenuhi negara membangun, sekali gus menghalang usaha ke arah menangani perubahan iklim.

Protokol Kyoto diasaskan pada Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim dan menetapkan sasaran dan jadual pengurangan pelepasan gas rumah hijau wajib dipatuhi oleh negara perindustrian. Amerika Syarikat tidak memeterai protokol ini.

Tabung penyesuaian pula ditubuhkan bagi membiayai projek dan program penyesuaian konkrit di negara membangun yang menandatangani Protokol Kyoto.

Syed Hamid berkata, Malaysia sudah mengambil langkah terbaik untuk menangani masalah perubahan cuaca pada masa kini dan akan datang.

"Mengikut rancangan pembangunan lima tahun, Malaysia sudah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk melakukan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kerosakan alam sekitar pada peringkat sumbernya, meningkatkan usaha pemuliharaan dan menguruskan sumber alam semula jadi secara mapan," katanya.

Sementara itu, lebih 70 pemimpin negara maju dan membangun yang menyertai mesyuarat peringkat tinggi itu mahu usaha menangani masalah perubahan suhu dunia dilakukan melalui tindakan bersama iaitu Rangka Kerja Pelbagai Hala Tunggal dan sebarang keputusan hanya boleh dibuat Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Tiada ulasan: