Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
GEORGETOWN: Penang Global City Centre (PGCC), bandar bebas karbon pertama di dunia yang akan dimajukan Equine Capital Bhd menerusi syarikat sekutunya, Abad Naluri Sdn Bhd, akan berkonsepkan tradisional.
Pengerusi Eksekutif Equine Capital, Datuk Patrick Lim, berkata walaupun bakal menjadi bandar termaju dilengkapi teknologi moden, pembangunannya masih tidak mengabaikan unsur tempatan.
Lapan puluh perunding dalam bidang pembinaan dan alam sekitar dari dalam dan luar negara termasuk enam arkitek, yang diambil bekerja untuk mereka bentuk konsepnya.
Daripada jumlah itu, 40 perunding dari luar negara termasuk arkitek terkenal dari Asymptote Architecture, Hani Rashid serta kakitangannya dari New York dan London.
“Selebihnya adalah perunding tempatan termasuk dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang akan berganding bahu dengan pakar luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai projek pembangunan PGCC bersama Hani, arkitek utama projek itu di sini, semalam.
Perancang utama PGCC ialah Nasrien Seraji iaitu pakar perunding dan arkitek dari Iran yang berpejabat di Paris, Perancis.
PGCC akan dibangunkan di tapak Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang membabitkan kawasan seluas 104 hektar. Ia akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh 15 tahun.
Pelan induk projek yang bernilai kira-kira RM25 bilion itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, hari ini.
PGCC, adalah satu daripada projek teras Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan akan menjadi mercu tanda Pulau Pinang dan Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa (MICE).
Projek itu direka bentuk dengan dua menara ikonik, kompleks beli-belah dan panggung kesenian yang canggih. Ia membabitkan pembangunan sebuah taman dalam pusat bandar, menghubungkan Taman Belia dan Taman Botani.
Sementara itu, Hani berkata, PGCC yang akan menggabungkan bahan binaan tempatan dan import akan menjadi mercu tanda lebih hebat berbanding Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
“Matlamat saya untuk membina satu ikon yang memenuhi kehendak semua dan ia menjadi bangunan masa depan yang bukan saja moden dan bergaya, malah mesra ekologi," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan