Rabu, 12 September 2007

500,000 hektar kawasan tadahan hujan diwartakan

LEBIH 500,000 hektar kawasan tadahan hujan sudah diwartakan negeri termasuk di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan daripada 800,000 hektar yang diperlukan bagi memastikan bekalan air bersih berterusan untuk rakyat Malaysia.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah, berkata sasaran ditetapkan Majlis Perhutanan Negara gagal dicapai kerana ada negeri termasuk Kelantan yang bersetuju mewartakan 42,000 hektar kawasan tadahan air, masih tidak berbuat demikian hingga kini.







“Jadi, saya berharap kerajaan negeri yang belum mewartakan kawasan tadahan air terutama Kelantan untuk segera mewartakan kawasan berkenaan supaya rakyat mendapat air bersih,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) mengenai maklum balas kerajaan negeri untuk mewartakan kawasan tadahan air, semalam.

Sazmi berkata, Majlis Perhutanan Negara pada mesyuarat ke-19 menetapkan supaya kerajaan negeri mewartakan kawasan yang difikirkan perlu sebagai kawasan tadahan air, bagi memastikan kawasan itu tidak diganggu atau dibangunkan.

Menjawab soalan asal Hassan, beliau berkata, kementerian sudah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan sungai yang menjadi sumber air utama tidak tercemar melalui dua pendekatan iaitu pencegahan dan pemulihan.

Dari aspek pencegahan, Sazmi berkata, antara tindakan diambil termasuk pemantauan jabatan dan agensi berkaitan, program memperkasakan Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai kesedaran alam sekitar dan pemulihan sungai membabitkan RM9.09 juta di 222 kawasan Parlimen dan 576 DUN.






Dalam aspek pemulihan, antara program dijalankan adalah pembinaan perangkap sampah dan kelodak, mengadakan kawalan kumbahan dan sisa pepejal, pemuliharaan sungai serta program ‘Satu Negeri Satu Sungai’.

Tiada ulasan: